We need a place, we need some space

Suka tak?

Sayang Red selalu ye...Terima Red seadanya...thanks u all... :>

Sayang Red selalu ye...Terima Red seadanya...thanks u all

Masa berlalu menjadi kenangan, Masa depan menjadi impian, Masa kini di genggaman tangan. Hargailah.

Masa berlalu menjadi kenangan, Masa depan menjadi impian, Masa kini di genggaman tangan. Hargailah.

Makin Hari Makin Sayang

Smile....... erm...sampai ke telinga senyum nyer...camtulah baru berseri...tambah berseri lagi kalau selalu duk singgah2 kat halaman saye ni...jemputlah ye jenguk2 perkabaran saye tp xde la smpi hidang kuih jemput2...



Tuesday 11 October 2011

Arus.....menagih keyakinan dan keberanian

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera buat semua ;>

Ceria x hari ni? Ceria-ceriakan lah diri sementara masih bernafas.
Ceria tu ceria juga, jangan lupa lahirkan rasa kesyukuran kita pada kasih sayang Allah untuk sekalian makhluknya. Banyak sungguh nikmat yang telah dikurniakannya buat kita semua (mengingatkan diri sendiri yang juga adakala terleka dan lalai).

Hari ni rasa nak share satu kisah yang pernah kulalui. Macam2 perasaan masa tu. Ikutilah kisah ku ini.

___________________________________________________________________________
Saat aku diberitahu yang kami semua akan dilepaskan, dibiarkan terapung di dalam sungai sejauh lebih kurang 200 meter, hatiku terus berkata...habislah aku. Dan tika 'guide' yang terdiri daripada beberapa orang lelaki tika itu memberi kelonggaran kepada sesiapa yang tidak mahu menyertai aktiviti 'floating' itu boleh terus berada di atas rakit, aku merasa cukup lega seolah-olah aku diberi semula nyawa yang terbang entah ke mana sebentar tadi. Apatah lagi apabila ada beberapa peserta yang turut tidak yakin untuk melakukan 'floating'. Pada mulanya kami berpakat untuk tinggal bersama, namun selepas beberapa orang mengubah fikiran memandangkan itulah peluang yang bukan mudah untuk diperolehi maka aku dengan rasa berbelah bahagi turut mengubah fikiranku.

Lantas aku segera mengemaskan jaket keselamatan. Kulihat seorang demi seorang peserta telah dilepaskan. Ada yang menujukkan kegirangan ada yang menunjukkan rasa cemas. Malah ada yang begitu teruja dengan pengalaman baru yang 'adventure' ini. Tiba giliranku dilepaskan. Aku tersilap langkah. Aku telah dibawa arus ke arah air mati di tepi tebing sungai. Aku yang tidak pandai berenang, ditambah pula situasi air yang tiada arus menyebabkan aku kesukaran untuk melepaskan diri.

Apa dayaku selain menjerit meminta tolong. Namun aku telah diherdik oleh seorang peserta yang mungkin memikirkan aku sengaja untuk mendapatkan perhatian. Sejenak aku berasa tidak puas hati dengan sikapnya. Aku merasa malu. Aku tenggelam timbul kerana tidak pandai mengawal imbangan badan untuk terus terapung walaupun aku menyarung jaket keselamatan. Namun memandangkan tiada siapa yang peduli untuk menyelamatkanku, aku cuba berikhtiar sendiri untuk keluar dari kawasan air mati itu.

Aku fikir ini baru permulaan. Memang benar, ia memang baru bermula beberapa minit selepas aku dilepaskan. Tidak sangka begitu cepat aku terperangkap dalam situasi itu. Aku tidak boleh berputus asa.
Setelah berhempas pulas, akhirnya aku berjaya mengatasinya. Itupun apabila aku dapati semua peserta lain yang hampir 150 orang semuanya sudah meninggalkan aku, hanyut mengharungi sungai.


Aku berasa lega. Namun pengembaraan belum berakhir. Aku dihanyutkan arus dan hampir-hampir terlanggar batu-batu besar yang berada ditengah-tengah sungai. Aku sendirian mengharunginya. Tidak nampak kelibat peserta lain. Aku sandarkan doa agar Allah melindungi aku. Sendirian berada di dalam arus sungai, tiada siapa yang aku harapkan selain Allah agar sentiasa bersamaku. Zikir-zikir sentiasa meniti bibir. Tenggelam timbul, tertelan air sungai yang tidak berapa jernih mebuatkan aku merasa nyawaku ibarat di hujung tanduk. Selagi hayat ada aku tidak akan mengalah.

Sampai di satu bahagian sungai kulihat seorang dua peserta yang ketinggalan. Semakin aku kehadapan mengejar peserta-peserta lain, rupanya ada juga peserta yang turut kecundang. Mereka berhenti sebentar di tebing sebelum meneruskan pengalaman kembara yang cukup mencemaskan bagi mereka yang tidak kuat untuk mengharunginya. Semakin lama aku kembali berseorangan. Tiada peserta lain bersama-samaku. Zikir masih tidak lekang dari bibirku.

Sepanjang mengharungi arus, aku bayangkan beginikah kehidupanku. Dikelilingku adalah ciptaan anugerah Allah yang cukup indah. Hutan, sungai, batu batan, pokok kayu, burung-burung, langit dan awan yang kelihatan tatkala aku mendongak ke langit dan segala hidupan. Subhanallah. Maha Besar Allah Pencipta Yang Maha Agong. Dikelilingi keindahan-keindahan itu, aku masih sedar aku berasa di dalam arus yang tidak aku ketahui adakah aku berjaya untuk mengharunginya.

Inilah kehidupan. perumpamaan kehidupan yang cukup hebat. Di bawa arus sungai yang adakala deras adakala perlahan. Pernah hampir tersangkut di pohon di tengah-tengah sungai, terhantuk di batu-batu sehinggalah satu ketika aku terperosok di dalam air pusar. Ia seolah-olah puting beliung di dalam air. Aku terperangkap. Mujur aku tidak panik untuk melawannya. Untuk menjerit meminta tolong aku sedar dari tadi aku tidak ditemani rakan peserta yang lain mahupun 'guide' ekspedisi ini.

Aku ditelan air pusar. Beberapa kali ia menarikku ke dasar sungai dan menimbul tenggelamkan aku. Aku teringat pesanan 'guide' pada malam sebelum ekspedisi ini dijalankan...
'Sekiranya termasuk dalam arus air pusar, tolong jangan panik. Dan jangan cuba melawan arus pusar. Tenangkan diri, ambil nafas sedalamnya dan lepaskan nafas perlahan-lahan semasa pusar menarik anda ke dasar. Ikut sahaja arus pusar itu'.
Aku mengikut arahan tersebut sehingga beberapa kali pusaran tenggelam timbul. Alhamdulillah, pusaran berhenti. Namun satu masalah timbul apabila aku sedar telah selamat dari pusaran, aku terperangkap kembali di dalam air mati. Sekali lagi aku jadi kelu. Aku bimbang akan berlaku lagi air pusar sebelum aku sempat keluar dari situ. Apa ikhtiarku? Aku tidak menjerit meminta tolong seperti pertama kali tadi. Aku pasrah pada Allah.

Tidak jauh dari situ, tiba-tiba aku terlihat kelibat seseorang sedang memerhatikanku. Hatiku lega apabila 'guide' yang datang bersama-sama sekumpulan penuntut ALAM menghulurkan tangannya. Dia menarikku keluar dari air mati. Telingaku sempat menangkap kata-katanya..' awak memang kuat semangat'. Aku cuma mampu tersenyum dan mengucapkan terima kasih lantas meminta diri untuk meneruskan pengembaraanku sendirian walaupun sebenarnya aku berasa agak cemas.

Detik-detik cemas yang tidak dijangkakan. Itulah hebatnya pengembaraan. Kerapkali aku tenggelam timbul, entah berapa gelen air sungai yang aku telan. Hanya zikir pada yang Esa menemaniku. Aku tidak pasti berapa jauh lagi. Namun semakin merasa kesukaran kerana arus semakin berkurang. Tiada arus yang menolak tubuhku. Air mula tenang. Aku pasti ketinggalan sekiranya aku tidak berenang. Tetapi aku tidak pandai berenang dan jika aku pandai sekalipun pasti aku akan kepenatan. Apa dayaku sekarang. Aku berdoa pada Allah. Mohon diberi pertolongan. Mohon diselamatkan di dalam perjuangan ini.

Tidak jauh dihadapan, aku bertemu sepasang teman yang mungkin kekasih. Peserta yang sama-sama menyertai kumpulan ekspedisiku. Sebenarnya ini kali kedua aku bertemu dengan mereka sepanjang mengharungi arus ini. Kali pertama bersua mereka menolong aku yang telah tenggelam timbul di bawa arus. Aku berterimaa kasih di atas bantuan mereka namun aku fikir tidak boleh terus mengharapkan bantuan. Aku mesti yakin untuk meneruskan sendirian. Tetapi kali kedua pertemuan ini, mereka menawarkan diri untuk menemaniku. Aku mengaku tidak pandai berenang. Dan aku mengaku aku hilang punca apabila mendapati air sungai semakin tenang. Tanpa arus bagaimana aku nak teruskan.

Merekalah yang menemaniku dan menunjukkan aku caranya. Mereka mengajar aku mengapungkan diri secara menelentang. Sambil itu kakiku disuruh berkayuh perlahan-lahan seperti mengayuh basikal. Walau mulanya rasa agak sukar kerana aku gagal mengapungkan diri namun akhirnya aku berjaya juga. Kami sama-sama mengayuh sehingga akhirnya sampai ke destinasi di mana peserta-peserta lain yang sudah sampai menanti. Satu kawasan berpasir yang agak luas.

Sebaik aku tiba, naik ke darat, badanku terasa amat berat. Lantas aku terlentang di dada pasir. Aku terlihat kelibat 'guide' yang membantuku tadi juga sampai di situ. Dia memandang padaku dan tersenyum. Sekali lagi. seolah-olah sedang membuat pengumuman dia menunjuk padaku dan mengatakan betapa kuatnya semangatku mengharungi arus tadi. Sekali lagi aku hanya mampu tersenyum tanpa kata-kata.


Sebaik kakiku menjejak tanah, tak terhingga rasa kesyukuran ku ke hadrat Ilahi membantuku mengharungi arus yang menyimpan seribu cerita. Kufikir aku lah peserta yang terakhir. Rupanya ramai lagi yang belum tiba. Tidak lama selepas rasa lega dapat melepaskan lelah kelihatan rakit-rakit kami yang diselia para 'guide' tiba. Kami bersiaap-siap untuk meneruskan ekspedisi berakit yang akan berakhir di sebuah perkampungan orang asli. Ekspedisi ini kami lakukan di Sungai Nenggiri, Kelantan sekitar tahun 2000.

Pengalaman berakit yang amat mengujakan. Membuat aku berfikir, tidak sekali-kali berputus asa dalam hidup, semasa susah mahupun senang. Allah sentiasa bersama-sama apatah lagi jika kita sentiasa mengingatiNya, berserah padaNya, tempat kita sandarkan harapan, meminta pertolongan. Arus sungai adalah umpama dugaan dalam hidup. Andai tersilap langkah kita akan kecundang malah mungkin kehilangan nyawa. Namun aruslah yang membawa kita ke puncak kejayaan, sekiranya kita tidak berputus asa dan bersikap positif disamping terus berdoa padaNya. Doa adalah senjata orang mukmin. Senjata untuk kita mengumpul kekuatan dalam diri mengharungi badai arus kehidupan yang tidak dapat dijangka.

Sekian kisahku. Semoga ada iktibar di sebalik kisah ini. Fikir-fikirkan lah.

2 comments:

Anonymous said...

alang pon kena wat aktiviti 'water confident' ke..?? what for ehh..??

RedRoza said...

ni bukan requirement from universiti achik. alang dulu suka join xtvt adventure. alang join ALAM students nye program. sblm tu alang join diorg hiking kat Dabong, Kelantan. mmg interesting. yg floating tu alang sndiri xtau tmasuk dlm program. mmg tergezut bila smpai satu area tu diorang suruh turun dr rakit. really adventure.